Pembalakan dipercaya jejas kawasan tadahan air
KAMPUNG LABU – Kira-kira 600 penduduk dari lima kampung tradisional di Mukim Tembeling Tengah dekat sini berhadapan kesulitan bekalan air bersih apabila punca tadahan air mereka terjejas dipercayai kesan aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan.
Sejak 1991, penduduk dari Kampung Labu, Tada, Kercheh, Jong Berlabuh dan Machang Raja sepenuhnya menggunakan air bukit yang lebih dikenali air masyarakat atau air kesihatan, daripada Pusat Tadahan Air Sungai Sejuk.
Difahamkan, aktiviti pembalakan yang berlaku di kawasan berdekatan menyebabkan fungsi hutan sebagai kawasan tadahan hujan mula terjejas, dengan kesan utama aktiviti itu menyebabkan air bukit yang diterima penduduk keruh, berlumpur selain paip utama penyaluran air rosak.
Pengerusi Air Masyarakat Kampung Labu, Zahari Ahmad, 45, berkata, untuk Kampung Labu sahaja, 101 penduduk menggunakan air bukit itu ditambah dengan air oleh Jabatan Bekalan Air (JBA), namun 15 daripada jumlah itu sepenuhnya tiada air JBA dan bergantung harap kepada air tadahan Sungai Sejuk.
Menurutnya, pada 1991, lokasi air tadahan Sungai Sejuk dipilih menjadi punca air penduduk dengan jabatan terlibat bekerjasama dengan penduduk menyediakan saluran paip besi terus dari punca air, dan juga membina takungan konkrit untuk menakung air.
“Apa yang berlaku kini, di bahagian atas punca air Sungai Sejuk telah berlaku aktiviti pembalakan.
“Penduduk tidak menghalang ia dilakukan. Tetapi masalah yang wujud adalah aktiviti itu berdekatan dengan punca air, yang mana kesan pembalakan menyebabkan air bukit semakin berkurangan dan kering,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
Zahari berkata, musim panas kering yang berlaku kini menambahkan lagi kesukaran penduduk untuk mendapatkan bekalan air, ditambah aras air Sungai Pahang juga semakin cetek.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Air Masyarakat Kampung Labu, Zuhairi Abdul Kadir pula berkata, masalah bekalan air yang berlaku tidak dapat dibantu dengan bekalan air JBA kerana bekalan air berkenaan juga sering terputus.
Menurutnya, boleh dikatakan penduduk sepenuhnya bergantung kepada air tadahan itu, yang mana air JBA jarang sekali digunakan.
“Rata-rata penduduk di sini berhadapan dengan masalah bil JBA yang tinggi walaupun kurang menggunakan bekalan air itu. Dan tidak dinafikan pemeriksaan dua bulan sekali yang dilakukan JBA membebankan penduduk.
“Bil yang sampai untuk pemeriksaan dua bulan sekali itu ada yang mencecah lebih RM90 sebulan, dan pastinya bebanan itu memberi tekanan kepada penduduk yang hanya bekerja kampung. Disebabkan itulah air masyarakat menjadi pilihan utama kegunaan harian,” katanya.
Kami kata:-Kami dah pernah cerita pasalpembalakan di Lembah Tembeling ni.Mungkin ada pihak yang tidak sempat atau tidak mahu ambil perhatian pada masalah ini.Atau mungkinkah pembalakan yang dilakukan ini telah diluluskan oleh pihak TERTENTU dan diberi kepada PIHAK TERTENTU juga?apabila pembalakan berlebihan berlaku,ini akan mengganggu ekologi dan sistem saliran.Mungkin ada pihak yang mengaut keuntungan dengan pembalakan ini.Tapi lebih ramai RAKYAT yang akan MENDERITA akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini.Tapi siapa yang bertanggungjawab?Adakah beliau salah seorang ADUN yang sedang DIEKORI oleh pihak SPRM 2,3 hari kebelakangan ini?Atau adakah pihak lain yang lebih BERKUASA?Kita baca,tunggu dan cari maklumatnya!
No comments:
Post a Comment